JUN 2021

Ketepikan Ideologi Politik, Bersatu Hati Bantu Kerajaan Tangani Covid-19


KUCHING: Ketika negara berdepan saat-saat getir pandemik Covid-19 ini, semua parti-parti politik termasuk pembangkang harus mengenepikan ideologi politik demi kesejahteraan bersama.

Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.8 Satok, Dato Ibrahim Baki berkata sebaliknya, pada ketika ini semua pihak harus bersatu hati sebagai rakyat Sarawak dan memberi tumpuan untuk membantu kerajaan menangani pandemik ini.

“Saya merayu kepada semua pihak   termasuk parti-parti politik terutama pihak pembangkang supaya bekerjasama dan bersatu hati membantu kerajaan menangani Covid-19 tanpa mengira ideologi politik. Pada masa sekarang, kesihatan menjadi agenda utama kita,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Bakul Makanan Sumbangan Kerajaan Sarawak menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS), hari ini.

Bantuan itu diagihkan kepada masyarakat Cina termasuk di Kampung Kudei Baru, Kampung Segedup dan Sungai Maong membabitkan 626 penerima. 

Pusat Khidmat N.8 Satok mula mengagihkan bantuan makanan itu pada 5 Jun lalu dan berakhir pada hari ini (8 Jun).

Sejumlah 3,100 bakul makanan diagihkan membabitkan 16 kawasan penerima dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok.

Sehubungan itu Ibrahim berkata, bantuan bakul makanan daripada Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini diagih sama rata tanpa meminggirkan mana-mana kaum meskipun ideologi politik berbeza.

Mengenai sumbangan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), setiausaha politik ke dalam Tabung Covid, Ibrahim berkata, tindakan itu tidak perlu dipersoalkan oleh pihak tertentu kerana ia dilakukan secara sukarela.

Sumber dari : Jiwa Bakti